To the visit on my blog, please vote when you visit my blog on my blog. To all fans of my blog and visiting my blog, I hope you all vote my blog and vote yes if you like and vote no if you do not like.
2/26/2013 10:20:00 PM

Menutup Aurat Itu Seksi?!


Apabila menyebut tentang menutup aurat, maka si penyebut biasa dikaitkan dengan gelaran ustaz, orang alim, orang agama dan sebagainya. Ia seolah menjadi satu frasa yang khusus untuk orang alim sahaja seolah-olah menyebut tentang sesuatu yang diajar didalam agama itu milik orang alim dan bukannya orang Islam.
Aurat dan seksi adalah dua perkataan yang mempunyai banyak hubungan dalam kebanyakan artikel dan penulisan seluruh dunia. Menyebut tentang aurat, pastinya perkataan seksi adalah lawan baginya. Begitu juga apabila menyebut tentang seksi, sudah pasti ia adalah perkara yang membuka aurat. Saya tidak boleh menafikan perkara tersebut. Itulah adalah perkara yang sekian lama bermain di benak semua orang.
Tapi pernahkah anda terfikir bahawa menutup aurat itu seksi? Bagaimana pula menutup aurat boleh menjadi seksi? Bukankah menutup aurat itu bererti menghilang status seksi?
Disinilah ingin saya sampaikan satu skop pandangan seksi terhadap mereka yang menutup aurat dan sebenarnya seksi inilah yang banyak menarik perhatian ramai lelaki tidak kira sama ada mereka mempunyai iman atau lelaki dari golongan 'buaya darat'.
Didalam kajian psikologi, lelaki sebenarnya mempunyai nafsu fantasi lebih kepada wanita yang menutup tubuh berbanding yang membuka dan mendedahkan aurat. Mengapa ia terjadi sedemikian?
Ini adalah kerana sesuatu yang sukar dilihat,tersembunyi atau diperolehi adalah sesuatu yang berharga. Kerana itu kebanyakan blog atau web yang menggunakan topik wanita muslim bertelanjang sering mendapat respon daripada lelaki bukan Islam dari seluruh dunia. Tetapi selalu yang dipaparkan ialah gambar daripada model yang berpakaian ala Islam kerana hakikatnya wanita muslim sejati tidak akan berbuat demikian.
Cuba kita singkap betapa komuniti yang sudah tegar dan agak biasa dengan situasi wanita yang membuka aurat menganggap wanita muslim mempunyai aset yang bernilai kerana menyimpan keindahan kecantikan fizikalnya hanya kepada yang berhak.
Ia sebenarnya adalah konsep nilai yang ada pada amalan itu sehingga amalan menutup aurat yang samasekali berlawanan dengan seksi itu, dianggap seksi pada kelasnya yang tersendiri.
Lelaki barat atau bukan Islam sebenarnya manusia biasa seperti lelaki Islam. Mereka punyai nafsu dan perasaan. Nafsu mungkin menyeronokkan mereka melihat gadis-gadis mereka berpakaian seksi tetapi jauh di sudut hati ada perasaan cemburu bila gadis yang sudah menjadi kekasih atau isteri dipuji orang kerana keseksiannya.
Konsep Islamophobia sebenarnya banyak menutup mulut lelaki bukan Islam di seluruh dunia mengakui bahawa wanita muslim adalah wanita yang paling seksi di dunia. Ini adalah kerana amalan menutup aurat itu begitu istimewa kepada pemilik wanita itu iaitu suaminya kerana hanya dia seorang yang berhak menikmati keseksian isterinya.
Sedar atau tidak, seksi yang ditafsirkan pada mata kepala sedia ada adalah hanya satu perkara yang menarik perhatian berasaskan nafsu. Berbeza dengan seksi dalam ertikata Islam iaitu menarik perhatian seorang lelaki kepada perempuan itu dalam ertikata yang lebih meluas meliputi maruah, ketaatan, kesungguhan memelihara aurat, memelihara kecantikan untuk hanya yang berhak dan sebagainya.
Tiada bezanya tentang perempuan yang menutup aurat dan membuka aurat dari segi fizikal. Mereka tetap berambut, bertangan, mempunyai mata yang cantik, kulit yang tersendiri dan sebagainya. Kecantikan itu tetap sama, sama ada mereka menutup atau membuka aurat. Tetapi nilai itu yang membezakan mereka. Menutup aurat memang susah dan bukannya perkara mudah. Jauh di sudut hati wanita menutup aurat itu, ingin menayangkan kecantikan mereka kerana wanita seksi sering mendapat perhatian. Kerana itulah melawan nafsu dan keadaan itu adalah susah. Kerana itulah juga wanita menutup aurat itu sebenarnya melatih diri menjadi seorang yang sabar, berpendirian, tabah, bermaruah dan tekun kerana kesungguhan melaksanakan perintah Allah ini serta melawan kehendak nafsu sendiri dan nafsu orang lain.
Allah itu Maha Bijaksana. Apabila seorang gadis terlalu cetek pemikirannya mengeluarkan kenyataan sukar untuk menarik perhatian lelaki sekiranya berselubung berbanding memperlihatkan sedikit kecantikan wanita, maka mereka tidak dapat melihat, tarikan itu umpama gula yang menjemput semut. Habis gula semut pun hilang.
Berkasih-kasihan adalah perkara yang datang dengan tanggungjawab. Apabila tarikan yang diberi memperlihatkan tanggungjawab seorang wanita memelihara kecantikan diri dan agama, maka umpan itu ikannya ialah seorang lelaki yang mahukan pasangan yang bertanggungjawab menjaga maruah dan kecantikan keluarga.
Menutup aurat hakikatnya adalah iklan terbaik bagi wanita untuk memperoleh lelaki sedemikian rupa. Soal sikap adalah perkara kedua. Ada yang mengatakan tidak semua wanita membuka aurat itu jahat. Itu adalah hakikat yang benar.
Membuka aurat bukan menggambarkan seorang itu jahat kerana tidak kurang wanita yang menutup aurat yang berhati busuk. Itu adalah soal hati. Tetapi seorang wanita yang baik hati dan menutup aurat itu lebih dipandang mulia kerana mempunyai pakej yang lebih lengkap.
Sepertimana makanan yang terhidang di atas meja tidak bertudung saji, ada kemungkinan lalat datang menyinggah. Pada pandangan mata, mungkin makanan itu telah dicemari lalat. Berbeza dari makanan yang bertudung saji, akan memberikan lebih keyakinan kepada orang untuk menjamahnya.
Usahlah dibangkitkan persoalan adakah wanita menutup aurat itu semua baik, kerana hakikatnya mereka telah membuat kebaikan dengan mentaati perintah Allah.
Tanyalah diri, mengapa aku boleh berbuat baik kepada manusia tetapi sukar untuk berbuat baik kepada Tuhan. Samalah juga jika kita melanggar lampu merah di jalanraya.Bukan semua yang melanggar lampu itu jahat dan bukan semua yang mengikut peraturan itu baik. Namun melanggar peraturan itu tetap satu perkara yang salah. Wallahu'alam.
Di ambil dari iluvislam.com

2/26/2013 10:18:00 PM

Kenapa Aurat Wanita Lebih Banyak Dari Aurat Lelaki?


Sebagaian wanita mengeluh kerana mereka perlu hidup sebagai seorang wanita, seperti yang kita lihat dialog di bawah. Mereka seolah-olah mempersoalkan ketentuan Allah SWT terhadap mereka. 
"Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak."
"Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak."
"Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!"
"Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!"
"Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?"
"Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?"
"Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?"
Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak sama rata antara jantina, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan.
Kaum lelaki pula cakap, "Ah, mujur aku ni lelaki!"
Tunggu..!
Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Cuba renungi jawapan-jawapan di bawah.
"Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan di rumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu?
Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi di kalangan orang, agaknya apa akan terjadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak?
Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut? Jangankan saya, tapi tok imam akan tercabut serbannya jika tengok awak hanya pakai seluar pendek!"
"Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!"
"Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu.
Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!"
"Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah... itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan, malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua!"
"Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!"
"Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!"
"Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawab kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!"
Allah SWT; sebagai Zat yang Maha Pencipta, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukum-Nya malah peraturan-Nya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.
Di ambil dari iluvislam.com

2/23/2013 07:25:00 PM

Ibu Ampunkanmu, Mira..


Mira merupakan seorang anak bongsu dari dua orang adik beradik. Ibunya seorang penyapu sampah yang sudah tua. Beliau sering sakit-sakit kerana terlalu kuat bekerja untuk memperbaiki taraf hidup merka sekeluarga. Ayah mereka yang selama ini mencari nafkah buat mereka sekeluarga telah meninggal dunia kerana terlibat dalam suatu kemalangan ketika baru pulang dari memotong getah.
Kehidupan mereka daif; ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Suatu hari Mira pulang dari sekolah dan terus menuju ke dapur lalu membuka tudung saji di atas meja. Alangkah marahnya Mira apabila melihat tiada satu pun makanan di atas meja. Lalu ibunya yang tua menjadi sasaran kemarahannya.
"Ibu, kenapa Ibu tak masak lagi? Kan dah tahu Mira kan balik sekolah tengahari. Dah la bagi duit saku pun tak cukup untuk Mira beli nasi kat sekolah. Ibu! Mira dah tak larat hidup macam ni! Ibu di rumah tahu tidur jer."
Begitulah kata-kata Mira kepada Ibunya yang kebetulan pada hari itu tertidur di atas sofa lusuh di ruang tamu.
Mira tidak tahu bahawa ibunya mengalami demam yang panas kerana tidak cukup rehat dek kerana mencari nafkah buat mereka sekeluarga. Mira hanya mementingkan dirinya sahaja. Ibunya diam mendengar leteran puteri kesayangannya itu. Tidak lahir satu pun rasa marah kepada Mira pada waktu itu. Padanya, memang salah dirinya kerana gagal untuk memasak juadah untuk anaknya yang baru pulang dari sekolah. Ibunya teringat pesan arwah suaminya supaya menjaga anak-anak mereka dengan baik.
"Mira, lapar ya sayang? Sebentar ibu masakkan ya."
Lantas, Ibu pun segera bangun menyediakan juadah untuk anak kesayangannya. Mira menghentak kaki dan segera masuk ke dalam biliknya tanda protes kerana ibunya gagal menyediakan makanan buatnya apabila beliau balik dari sekolah. Ibu hanya diam melihat gelagat anaknya namun beliau tahu Mira hanya ingin meluahkan perasaan marahnya kerana kesalahannya sendiri.
Sedang Ibu memasak, pulang anaknya yang sulung, Along, yang baru sahaja pulang dari tempat kerja. Melihat ibunya yang masih belum lega demamnya sedang memasak, Along lantas menyuruh ibunya berehat dan dia mengambil alih tugas ibunya memasak. Along tahu bahawa ibunya sudah penat untuk melakukan semua itu tambahan dengan demam yang dialaminya belum lagi sembuh.
Along seorang anak yang amat berhati mulia dan amat memahami kondisi ibunya yang sudah tua dan sudah tidak berdaya lagi. Sedang asyik Along memasak, Mira datang dan bertanya di manakah ibu. Lantas along menjawab bahawa ibu sedang tidur di sofa lusuh di ruang tamu, mungkin ibu penat agaknya.
Mira dengan pantas menuju ke ruang tamu dan mengejutkan ibunya untuk meminta wang kerana dia mahu keluar bersuka-ria bersama kawan-kawannya. Along begitu marah melihat gelagat adiknya yang mengejutkan ibu yang sedang lena tidur semata-mata untuk meminta wang. Along memarahi Mira. Namun Ibu dengan segera meleraikan pergaduhan mereka.
"Along, janganlah kamu memarahi adik kamu, dia hanya mahu meminta wang untuk membeli buku rujukan bersama rakan-rakannya, lagipun SPM pun dah dekat. Ibu mahu dia berjaya kelak," lantas ibu masuk ke dalam biliknya dan meyeluk saku baju kerjanya. Mira hanya menurut ibunya dari belakang. Ibu memberi RM30.00 kepada Mira namun itu belum cukup bagi Mira, dia merampas wang lebihan yang ada di tangan ibunya.
"Jangan Mira, itu wang untuk....."
Belum habis ibunya berkata-kata Mira terus keluar dari rumah. Suara Mira dari luar jelas didengari oleh ibunya.
"Ibu, duit kita boleh cari lagi. Jangan risau," dia tidak tahu ibunya bertungkus-lumus mencari wang untuk mereka sekeluarga.
Namun, ibunya tidak menaruh sebarang perasaan marah kepada anaknya itu kerana anak merupakann kurniaan Allah yang tidak boleh dijual beli baginya.
Along tidak melihat apa yang berlaku kerana asyik memasak di dapur.
Hari ini tidak seperti hari yang sebelumnya, jam sudah menunjukkan jam 11.00 malam. Mira masih belum pulang ke rumahnya. Ibu dan Along sudah mula risau. Tidak lama kemudian, telefon berbunyi dan Along segera mengangkatnya. Alangkah terkejutnya dia apabila mendengar satu-satu adiknya telah mengalami kemalangan yang mengakibatkan penglihatannya menjadi buta.
Ibu yang mendengar berita itu amat terkejut lalu mencari orang untuk menghantar mereka berdua ke hospital dengan kadar segera. Setibanya di hospital, Ibu melihat teriakan Mira yang amat sedih akibat hilang keupayaan untuk melihat.
"Sudah tidak guna lagi aku hidup di dunia ini, aku sudah tidak mampu melihat lagi."
Ibu sudah tidak sanggup untuk melihat cahaya matanya yang kedua itu hidup dalam kegelapan selama-lamanya. Dia harus mencari cara untuk mengembalikan penglihatan anaknya semula.
Seketika kembali seorang doktor datang ke arah Mira dan berkata bahawa. "Mira, awak jangan risau, kami telah menemui seorang penderma yang sanggup mendermakan matanya kepada awak."
Mira merasakan dirinya orang yang paling bertuah setelah mendengar berita yang gembira itu.
Hari pembedahan sudahpun tiba, pembedahan semuanya berlaku dengan lancar. Pembedahan itu mengambil masa selama hampir 4 jam. Hasilnya juga mengembirakan.
Hari ini hari yang penting buat Mira kerana balutan pada matanya akan dibuka dan menandakan samada beliau berjaya melihat kembali ataupun tidak. Hasilnya amat memberangsangkan. Mira dapat melihat semula.
Orang yang pertama dilihatnya ialah Along. Dia tertanya-tanya dimanakah Ibu. Dia mahu meminta maaf kepada Ibu atas semua kesalahan yang telah beliau lakukan. Mira sudah insaf.
"Along, di mana Ibu? Mira hendak mencium tangan ibu dan meminta maaf kepadanya. Tangisan air mata jelas kelihatan mengalir di pipi Along.
"Along, mengapa menangis? Ibu mana?" pertanyaan itu ditanyakan kepada Along berkali-kali tetapi hanya linangan airmata dapat dilihat mengalir di mata Along. Berbagai persoalan bermain di minda Mira saat itu.
"Ibu sudah meninggalkan kita Mira!!! Ibu mengalami komplikasi semasa pembedahan mendermakan matanya kepadamu adik. Dia mengambil risiko untuk menjalani pembedahan walaupun usianya sudah lanjut adik. Ibu telah melakukan satu pengorbanan yang sangat besar kepada kamu Mira!!!"
Along cuba menenangkan Mira dan memberikan sepucuk surat kepada Mira.
"Mira,
Di saat kau membaca surat ini,
Mungkin Ibu telah pergi meninggalkan dunia ini,
Andai kata Ibu pergi sebelum sempat berjumpa dengan Mira,
Ibu pasti Mira pasti sudah boleh melihat...
Ibu mahu kamu dapat melihat dunia ini dan kebesaran Ilahi...
Ibu sudah mengampunkan segala dosa-dosa Mira...
Terimalah sepasang mata ini daripada ibu..."

Di ambil dari iluvislam.com 

2/23/2013 07:05:00 PM

Landasan Emas Ke Syurga


Setiap daripada kita lahir dengan seorang ibu dan seorang bapa. Ia satu nikmat pemberian Allah yang tiada nilainya di dunia ini. Carilah sampai ke hujung dunia. Kita hanya punya seorang ibu dan seorang bapa. Itulah landasan emas kita ke syurga yang didambakan setiap insan.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Bersabda Rasulullah s.a.w.
 "Apabila seseorang telah meninggal dunia putuslah segala amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya." (Hadis sahih riwayat Muslim)
Kewajipan mentaati ibu bapa ini sudah dijelaskan dalam al-Quran. Rasulullah s.a.w juga bersabda yang maksudnya:
"Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa."
Riwayat al-Hakim menjelaskan tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.
Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak wajib berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak.
Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji.
Sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.
Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.
Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T. Amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.


Ada sebuah kisah yang menyentuh hati mengenai anak yang taat kepada kedua orang tuanya. Pada zaman Nabi Musa a.s terdapat seorang pemuda yang memuliakan ibu bapanya. Lalu Nabi Musa a.s pergi ke rumah pemuda itu untuk melihat apakah amalan yang dilakukannya itu. Setelah memberi salam pemuda itu menjemput Nabi Musa a.s masuk ke dalam rumahnya. Baginda kemudian duduk di ruang tamu rumah pemuda tersebut.
Namun pemuda itu tidak melayan Nabi Musa a.s. Nabi Musa hairan dengan tingkah laku pemuda itu. Pemuda itu terus masuk ke dalam bilik. Kemudian beliau keluar dan membawa seekor khinzir betina keluar dari bilik itu. Dia mendukungnya dengan cermat, kemudian memandikannya. Nabi Musa sekali lagi kehairanan dan berbisik di dalam hati baginda "apakah ertinya semua ini?"
Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu khinzir itu dilap hingga kering serta dipeluk dan dicium kemudian dihantar semula ke dalam bilik tadi. Selepas itu pemuda itu keluar semula dengan seekor khinzir jantan pula dan lebih besar sedikit daripada yang tadi. Dia kemudian melakukan hal yang sama seperti khinzir yang sebelumnya juga.
Selepas semua kerja selesai barulah dia melayan Nabi Musa a.s. Lalu Nabi Musa a.s bertanya kepada pemuda itu tadi:
"Apakah agama tuan?"
"Islam agamaku," jawab pemuda itu ringkas.
"Habis kenapa kamu membela khinzir?" tanya Nabi Musa a.s lagi.
"Wahai tuan hamba kedua-dua khinzir yang aku dukung, dan aku mandikan itu tadi adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka banyak melakukan dosa besar, Allah menukarkan rupa mereka kepada rupa khinzir yang hodoh. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain, itu urusannya sama Allah. Aku sebagai anak tetap melaksanakan tanggungjawabku kepada mereka berdua. Hari-hari aku berbakti kepada kedua orang tuaku itu sepertimana yang tuan hamba lihat tadi."
"Setiap hari aku berdoa semoga Allah berikan rupa ayah dan ibu muka rupa mereka yang asal, tetapi Allah belum lagi mengkabulkannya," tambahnya lagi.
Maka ketika itu juga Allah berfirman dan menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s :
"Wahai Musa inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti hasil  baktinya yang sangat tinggi kepada ibu bapanya. Walaupun Ibu bapanya buruk dan hodoh dengan rupa khinzir, dia tetap juga berbakti. Oleh itu kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh di sisi Kami."
Allah juga berfirman lagi yang bermaksud:
"Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat ibu bapanya yang Kami sediakan di neraka telah kami pindahkan ke dalam syurga."
Sayangi dan hargailah ibu bapa kita sementara kita masih bernyawa. Ibu bapa yang masih punya nafas selayaknya mendapat kasih sayang kita sepenuhnya walau di mana kita berada. Walau siapa juga kita. Seandainya ibu bapa kita sudah pergi meninggalkan kita, itu maknanya tangungjawab kita sebagai anak baru sahaja bermula.

Di ambil dari iluvislam.com